Monday, January 27, 2020

Cuti-cuti Amsterdam, Paris, Chamonix, Rome, Pisa, Venice dan Milan Musim Bunga 2016 Bhg 3

Chamonix Mont Blanc


Tidak sabar rasanya untuk melihat puncak Mont Blanc. Sudah lama memasang angan-angan untuk ke sini selepas melihat gambar ahli keluarga yang bercuti di sini beberapa tahun yang lalu. Seawal 6 pagi kami sudah bersedia untuk pergi ke terminal Gare de Lyon yang berada betul-betul di hadapan hotel yang kami. Kami mengucapkan au revoir Paris dan bien venue Chamonix. Kami akan menaiki tren TGVLyria yang akan mengambil masa selama 3 jam 7 minit untuk sampai ke stesen Geneva dan akan menyambung perjalanan seterusnya ke Chamonix dengan menaiki van yang disediakan oleh Chamvan. Saya memilih private transfer untuk trip ini, ianya agak mahal berbanding dengan shared transfer atau shuttle bas tetapi kerana off season jadi pilihan tidak begitu banyak. 

Masuk sahaja ke pintu utama Gare de Lyon, kelihatan kerusi-kerusi menunggu dan barisan tren di hadapan kami. Ramai juga orang di sini yang menunggu untuk menaiki tren. Nampak saja TGVLyria train kami semua terus bergambar di tepi train. Sebelum berlepas, saya ada bertanya salah seorang pekerja di sini tentang platform untuk train kami, rupanya train kami berada di Hall 2 yang terletak di sebelah kiri dari pintu masuk utama. Kami bergegas ke Hall 2 dan melihat papan tanda untuk platform yang bakal kami naiki. Train sudah menunggu di platform, train nombor juga ada di tunjukkan di sisi dinding train jadi kita tidak akan salah menaiki train. Kami mencari gerabak yang sepatutnya kami naiki, iaitu gerabak no 6 yang nun jauh ke belakang untuk kelas 2. Gerabak awal sudah pasti untuk kelas 1. Selesai menyusun beg di tempat letak bagasi yang berada di hadapan pintu masuk, kami duduk di seat number seperti yang tertulis di tiket. Sewaktu membuat booking, saya memilih tempat duduk yang mempunyai meja. Senang untuk kami meletak barang.

Tren bergerak pelahan meninggalkan platform akhirnya bergerak dengan pantas menuju Geneva. Menurut informasi yang saya baca, kelajuan tren ini mencecah 180km/h. Hutan dan ladang kelihatan sepanjang jalan. Kami mendaki gunung ganang dan akhirnya menuruni lereng gunung ke arah Geneva. Kelihatan sungai yang sayup-sayup ke bawah dan juga jalan raya. Sesekali pemadangan terlindung kerana kami masuk dan keluar terowong. Tren juga bergerak agak pelahan di sini kerana trek yang bengkang bengkok menuju ke bawah. Cantiknya tidak terkata, kami hanya mampu mengucapkan subhanallah. Cantik sungguh ciptaan tuhan.

Semasa di dalam tren kami pergi ke gerabak yang menyediakan makanan ringan di sana. Kami berjalan melintasi beberapa gerabak untuk sampai ke cafe. Hanya ada seorang pekerja yang melayan kami dan beberapa cocktail table. Saya memilih latte dan croissant sementara yang lain memilih cappucino dan americano. Ada pulak penumpang yang berbaik hati offer untuk mengambil gambar kami di sini. Kalau tidak salah, latte yang di isi di dalam bekas pakai buang comey lotey ini berharga Eur2.60. Kena la minum sampai habis. Mahal tu!!!


Hujan renyai-renyai menyambut ketibaan kami di Geneva. Kami mengambil bagasi dan menuju ke arah pintu utama. Saya menalipon driver kami melalui nombor yang di beri melalui email. Inez namanya, seorang pemandu wanita yang agak muda. Kami berjalan ke parking yg terletak di tingkat bawah di mana MPV jenis Mercedes menunggu kami di sini. Perjalanan ke Chamonix dihiasi dengan pemandangan banjaran alps yang indah. Driver yang tinggal di Chamonix ini laju sahaja menekan minyak memotong kenderaan sepanjang jalan. Boleh tahan kelajuan kereta kami melebihi 140km/h. Selepas lebih 30 minit perjalanan kami mula mendaki jambatan yang panjang dan tinggi. Gayat juga bila melalui jambatan yang sedang di selenggara. Cuma tinggal sebelah jalan sahaja yang boleh digunakan. Jalan mendaki ke Chamonix di bina di tengah-tengah lurah gunung manakala jalan arah bertentangan berada di lereng bukit, bukan bersebelahan. Sayup2 kelihatan kilang-kilang di bawah sana. Rasa nak pejam mata. Biasa tengok dalam gambar sahaja jalan-jalan yang mencecah awan ini, hari ini kami melaluinya. 

Kami tiba di Chamonix hampir 1 jam 30 minit dari stesen Geneva. Inez meninggalkan kami di pintu hotel Les Cretes Blances. Kami di beri kabin comel bersebelahan dengan kaunter pendaftaran. Terdapat meja makan dan dapur untuk memasak di sini. Tingkat atas ada bilik mandi dan tempat tidur. Sedang kami membersih diri dan minum-minum, kelihatan hujan bertukar menjadi flurries. Alhamdulillah dapat juga melihat salji turun hari ini. Masing-masing berlari keluar melihat flurries yang akhirnya bertukar menjadi kepingan salji. Seronok tak terkata. Ada yang lari keluar dari cabin untuk merasa salji sampai terlupa memakai baju sejuk 😂

Selesai bersiap dengan thermal dan winter jacket kami menuju ke Tourist Information Centre yang terletak hampir dengan hotel. Peta Chamonix telah saya ambil dari kaunter pendaftaran sudah siap ditanda oleh pekerja hotel. Tourist info centre ditutup untuk makan tengahari.  Plan hari ini adalah untuk ke Aiguille du Midi, cable car yang sangat famous ini dan menaiki Montenvers Train, keretapi merah untuk ke Mers de Glace. Untuk tidak membuang masa kami terus bergerak ke arah Aiguille du Midi Cable Car berpandukan peta.  Hari yang sejuk bersalji tidak terasa kerana semua teruja dengan salji yang lebat turun (kalau orang utara kata peghak buih) dan pemandangan sekeliling yang indah. Entah berapa ratus keping gambar kami ambil sebelum sampai Aiguille du Midi tapi masih tidak dapat menggambarkan keindahan sebenar tempat ini. Elok sampai kami di beritahu pemandangan di atas adalah zero kerana kabus tebal. Bagus sekali penjual tiket ini, dia suruh kami datang semula bila cuaca lebih elok.  Rugi saja bayar eur54 tapi satu apa pon tak nampak. Jadi selesai bergambar depan entrance Aiguille du midi kami berpatah balik menuju ke arah train pula.

Kami lalu di celah2 jalan utama terdapat pelbagai kedai. Teringat Cik Ta & Aeshah ada bergambar di sini. Terjumpa satu kedai makanan halal di sini. Kami bercadang untuk makan di situ selepas mendaki gunung dengan Montenvers.

Sampai di stesen Montenvers saya membelikan ticket untuk semua berharga Euro26 seorang.  Selepas menunggu selama 30 menet, sampai lah si Merah untuk membawa kami ke puncak. Teruja sungguh. Ini merupakan train terakhir hari ini dan kami di berikan masa sampai jam 5 pm untuk berpatah balik.

Perjalanan menuju puncak sangat menyeronokkan. Terjumpa pula dengan pelajar dan guru-guru dari Malaysia yang baru lepas menyertai pertandingan di Geneva dan mendapat pingat emas, tapi lupa pulak mereka memasuki pertandingan apa.

Perjalanan hampir 30 minit sekejap sahaja. Elok sampai di hentian, masing-masing sudah tak sabar-sabar nak bermain salji. Di sebabkan cuaca yang sangat sejuk, bateri Handphone habis mati. Nasib baik ada Camera Nikon di bawa bersama.  Macam-macam gaya masing-masing bergambar.  Bila sudah teramat sejuk, kami masuk ke cafe untuk memanaskan badan. 




Chamonix-Mont Blanc terletak Auvergne-Rhones-Alps di tenggara Perancis, di sebelah utara puncak Mont Blanc. Ia merupakan tapak Sukan Olimpik Musim sejuk pertama pada tahun 1924. Chamonix adalah salah satu ski resort tertua di Perancis dan dikenali sebagai "the gateway to the European Cascades". 

No comments:

Post a Comment